Kesultanan Melayu Melaka dan pewarisnya Kesultanan Johor
Lama bukan sahaja pernah menempa sejarah gemilang dengan kelahiran raja-raja
yang hebat dan berdaulat besar seperti Sultan Muzaffar Shah, Sultan
Mansur Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah, tetapi juga telah melahirkan
tokoh-tokoh cemerlang dari kalangan keluarga bendaharanya yang turut sama
mewarnai serta menceriakan lanskap sejarah pemerintahan orang-orang Melayu dahulu
kala, dalam peranannya sebagai ‘tempat perbendaharaan segala rahsia
raja’ serta ‘memerintah, memberi kebajikan atas bumi yang
dilingkari raja itu.’
Dari kalangan
keluarga bendahara telah lahir tokoh-tokoh yang berwibawa seperti Tun Perak dan
Tun Mutahir, pahlawan-pahlawan Melayu perkasa seperti Bendahara Paduka Tuan dan
Tun Jenal, tokoh yang menjadi pelopor budaya Melayu seperti Tun Hassan
Temenggong, pengasas silat gayung iaitu Tun Biajid, pujangga Melayu terunggul
seperti Tun Isap Misai dan Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang, tokoh yang
berjasa menyelamatkan maruah Institusi Beraja seperti Raden Anum, Tun Habib
Abdul Majid dan Tun Habib Abdul Jalil (kemudian menjadi Sultan Abdul Jalil
Riayat Shah IV) dan ramai lagi tokoh lain seperti Tun Khoja Ahmad, Tun Abdul
Majid, Tun Ali dan sebagainya.
Malahan dari titisan bendaharalah
lahirnya serikandi-serikandi Melayu terbilang seperti Tun Kudu, Tun
Fatimah, Tun Che’ Ayu (Serikandi Riau), Tun (Wan) Puteh (Serikandi Mandailing),
serta wanita Melayu tercantik iaitu Tun Teja.
Maka, ‘kalau asal benih yang baik, jatuh ke
laut menjadi pulau’, mengkaji sejarah dan latar belakang Bendahara Paduka
Raja Tun Muhammad, atau lebih terkenal dengan jolokan Tun Seri
Lanang sudah tentu mengingatkan kita kepada bidalan lama ini.
Tun Seri Lanang lahir pada abad ke
16 Masihi di Seluyut, Johor Lama dan menjadi
bendahara kepada dua sultan bagi kesultanan tersebut iaitu Sultan
Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1570/71-1597M) dan Sultan Alauddin
Riayat Shah III (1597-1615M). Beliau juga ditakdirkan menjadi Uleebalang
Kenegerian Samalanga, iaitu pemerintah otonomi di sebuah jajahan Kesultanan
Aceh Darussalam serta penasihat kepada tiga sultan Aceh iaitu Sultan
Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M), dan Sultanah
Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Di Aceh Tun Seri Lanang bergelar
Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.
Bangsa Melayu mengenang Tun Seri Lanang sebagai seorang tokoh sejarah dan pujangga Melayu yang agung. Karyanya yang monumental iaitu kitab Sulalatus Salatin atau nama jolokannyaSejarah Melayu yang menjadi rujukan dan kajian sehingga hari ini telah memahkotakan Tun Seri Lanang sebagai Pujangga Agung Nusantara. |
Kemasyhuran
kitab Sejarah Melayu dikaitkan dengan perincian sejarah
Kesultanan Melayu Melaka yang pernah berdiri sebagai sebuah Negara Melayu yang
paling kuat, agung dan kaya pada abad ke 15M. Lantaran itu karya tersebut
seringkali diselidiki sebagai sebuah dokumen sejarah yang menggambarkan antara
lain, kelahiran kerajaan Melaka bersekali dengan tamadun MELAYU ISLAM
BERAJAnya, pengluasan kuasa pemerintahnya serta pelbagai aspek dan titik bengik
kehidupan kesultanan tersebut yang berakhir dengan episode keruntuhannya akibat
serangan Portugis pada tahun 1511 M.Bermakna kitab Sulalatus Salatin menjadi
antara sumber rujukan utama yang bersifat primer tentang sejarah masyarakat dan
kebudayaan Melayu awal.
Menurut Profesor Dato’ Dr Mohd
Yusoff Hashim, sumbangan terbesar yang dibuat oleh Tun Seri Lanang sebagai
mengikut titah Yang Dipertuan di Hilir (Raja Abdullah, kemudian menjadi Sultan
Abdullah Maayah Shah Johor 1615-1623) dalam menyusun teks Sulalatus
Salatin atau Sejarah Melayuialah :
“ Mengketengahkan serta memberi
kesedaran kepada masyarakat dunia bahawa bangsa
Melayu adalah BERTAMADUN setara tamadun-tamadun dunia lainnya waktu
itu.“
Dalam hal ini, Tun Seri Lanang bukan
sahaja telah menuangkan jasa yang besar kepada bangsa Melayu sebagai pengarang
kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu,
malahan dalam peranannya sebagai Uleebalang Kenegerian Samalanga di Aceh, telah
meninggalkan jejak yang besar dalam memberi sumbangan kepada pemertabatan agama
dan bangsa di sana.
Malahan Tun Seri Lanang juga telah meninggalkan
warisan keluarga yang cemerlang di kedua-dua Tanah Melayu dan Aceh. Sampai hari
ini Kesultanan Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor masih dipegang oleh
zuriat Tun Seri Lanang. Sedangkan di Aceh pula, keturunan Tun Seri
Lanang dari keluarga dan kaum-kerabat Uleebalang Kenegerian Samalanga telah
bersatu darah dengan bangsawan-bangsawan Aceh yang lainnya sehingga melahirkan
beberapa tokoh Indonesia yang terkenal seperti Pocut Meuligo-‘Serikandi
Aceh’, pejuang bangsa dan negara seperti Amponsyik (Uleebalang) Samalanga
Teuku Muda Bugis Teuku Hamid Azwar, Teuku Daud Shah dan Mayjend
Teuku Hamzah Bendahara, Teuku H. Zainal Abidin Bendahara dan Teuku H Husen
Bendahara.
Kesimpulannya, sebagai seorang tokoh sejarah Melayu
tradisional baik dalam bidang kesusasteraan, politik Melayu / Aceh lama,
mahupun dalam perkembangan serta pendidikan Islam, sejarah dan riwayat hidup
Tun Seri Lanang patut diketengahkan sebagai suri tauladan serta
pencetus semangat bangsa dan agama khususnya bagi orang-orang
Melayu.
KRONOLOGI
Pertengahan Abad ke 16 Masihi :
Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang lahir di
Seluyut dalam Kesultanan Johor Lama
Sekitar 1575-1613 Masihi :
Menjadi bendahara kepada
dua sultan bagi kerajaan Johor Lama yang bernama Sultan Ali Jalla Abdul Jalil
Shah II (1570/71-1597M) dan Sultan Alauddin Riayat Shah III
(1597-1615M).
13 Mei 1612 Masihi :
Tun Seri Lanang menerima titah Raja Abdullah atau yang
disebut juga Yang Dipertuan di Hilir untuk mengarang kitab Sulalatus
Salatin iaitu pada masa kekanda Raja Abdullah iaitu Sultan Alauddin
Riayat Shah III sedang bersemayam di Pasir Raja atau Pekan Tua
Mei 1613 Masihi :
Semenjak tahun 1613M, Sultan Aceh Darusssalam
yang terkenal iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636M) telah
membuat serangan ke atas banyak negeri-negeri Melayu termasuk Johor Lama,
Pahang Lama, Perak dan kerajaan-kerajaan lainnya, dibuat sebagai strategi
Sultan Iskandar Muda untuk menghambat pengaruh dan kuasa Portugis dari
kepulauan Melayu serta meluaskan kepentingan kerajaannya yang besar.
Antaranya termasuklah peristiwa
Perang Batu Sawar yang melibatkan serangan tentera Aceh keatas ibukota
Kesultanan Johor Lama. Selesai berperang, Sultan Johor iaitu Sultan Alauddin,
Raja Abdullah, Bendahara Tun Seri Lanang, panglima serta orang-orang besar
Johor telah ditawan dan dibawa balik ke negeri AcehSultan Johor
kemudiannya telah pulang ke Johor sementara Tun Seri Lanang terus tinggal di
Aceh sehingga masa kemangkatannya.
1613 Masihi :
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah melantik Tun
Seri Lanang sebagai Uleebalang Kenegerian Samalanga, iaitu bersifat pemerintah
otonomi dalam sebuah jajahan Kesultanan Aceh
Sehingga 1659 Masihi :
Disamping peranannya
sebagai Uleebalang Samalanga, Tun Seri Lanang juga telah dilantik sebagai
penasihat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Iskandar Thani (putera
Pahang yang menjadi Sultan Aceh) dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah
(permaisuri Sultan Iskandar Thani) dengan gelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Sri
Paduka Tun Seberang.
Sepanjang tempuh kehidupan Tun Seri Lanang sebagai
uleebalang/pemerintah otonomi di Samalanga, beliau telah berjumpa dan
bersahabat dengan kalangan alim-ulama Aceh yang tersohor. Pada masa ini
jugalah Syeikh Nuruddin Ar-Raniry (pengarang kitab mashur Bustanus
Salatin) sempat bertemu dengan Tun Seri Lanang, sehingga membawa
kepada perhubungan yang saling memenafatkan, saling bertukar ilmu
pengetahuan iaitu tentang agama Islam yang dikuasai oleh Syeikh Nuruddin, serta
bahasa dan kesusasteraan Melayu yang dikuasai pula oleh Tun Seri Lanang.
Tun Seri Lanang yang memulai
penulisan kitab Sulalatus Salatin di Batu Sawar, Kesultanan
Johor Lama dalam tahun 1612 Masihi telah meneruskan misi tersebut sepanjang
kehidupannya sebagai uleebalang/pemerintah otonomi di Samalanga, Aceh
Darussalam.
Kesimpulannya, dalam peranan sebagai bendahara
bagi Kesultanan Johor Lama (yang mewarisi Kesultanan Melaka dari aspek
keturunan dan kuasa politik Melayu tradisional), dan kemudiannya sebagai
uleebalang serta penasihat bagi Raja-raja Aceh, pendedahan Tun Seri Lanang
kepada kehidupan dalaman istana dua kerajaan Melayu yang terbesar waktu itu
sudah tentu telah dimenafaatkan sepenuhnya dalam penulisan kitab Sulalatus
Salatin. Malahan persahabatan eratnya dengan alim ulama Aceh,
pengkajiannya pada sejarah kedatangan serta perkembangan Islam di
Alam Melayu yang kebetulan bermula seawal tahun 850 Masihi, iaitu di zaman
tabit tabiin di bahagian Aceh lama seperti Perlak dan Pasai telah
memberikan advantage yang besar kepada Tun Seri Lanang dalam
misi kepengarangannya sehingga berjaya menghasilkan sebuah karya yang agung dan
monumental.
1659 Masihi :
Tun Seri Lanang meninggal dunia di Samalanga,
Aceh. Zuriatnya berterusan menjadi pemeritah otonomi di sana sedangkan
sebahagian lagi zuriatnya kembali ke Johor lalu ditakdirkan menjadi Raja-raja
Melayu khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor Moden sehingga ke hari ini.
Makam Tun Seri Lanang telah dipugar dan dijaga oleh pihak berkuasa di Samalanga
dan sentiasa dikunjungi oleh peminat dan pengkaji sejarah, khususnya dari
Malaysia dan Indonesia.
AL-FATIHAH...
assalamualaikum, good info :)
ReplyDeletemenarik...sy tak perlu cari lain dah klau nk tengok pasal Tun Sri Lanang,,,,heheheheh
ReplyDeleteNota yg lengkap. Mudah untuk buat rujukan
ReplyDeleteHebat
ReplyDeleteBlog yang menarik dan berguna
ReplyDelete