UNSUR PATHOS DALAM
SULALATUS SALATIN
1. Pengorbanan yang
terpaksa dilakukan demi keamanan negeri.
Hal ini dapat dilihat
dalam kisah Sultan Muzaffar Syah terpaksa menceraikan isteri kesayangannya Tun
Kudu demi menyelesaikan perbalahan antara Seri Nara Diraja Tun Ali dengan Tun
Perak. Sebagai seorang wanita yang masih muda, Tun Kudu turut terpaksa
menanggung penderitaan diceraikan demi kepentingan keamanan Melaka. Kemudian
berkahwin pula dengan Seri Nara Diraja Tun Ali yang telah tua. Namun Tun Kudu
tidak ada pilihan. Penentuan hidupnya terserah kepada ketentuan kuasa dipihak
lelaki lebih-lebih lagi atas titah sultan.
2. Pembunuhan terhadap
orang yang tidak berdosa oleh pemerintah hanya kerana faktor dendam dan benci
dan fitnah.
Ini bermakna tindakan
pemerintah yang menjatuhkan hukuman bunuh terhadap seseorang yang tidak
setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Buktinya dapat dilihat dalam
peristiwa pembunuhan terhadap Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, Tuan Jana
Khatib, Tun Besar, Tun Ali Sandang dan sebagainya yang berpunca daripada rasa
dendam dan benci.
Contohnya:
- Pembunuhan terhadap Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir misalnya berpunca daripada dendam Sultan Mahmud Syah terhadap Tun Mutahir kerana tidak menunjukkan Tun Fatimah kepada baginda terlebih dulu sebelum dikahwinkan dengan Tun Ali. Ditambah pula dengan fitnah yang disampaikan oleh Raja Mendaliar dan Kitul yang memfitnah Bendahara Tun Mutahir ingin merampas tahta kerajaan Melaka. Dalam suasana hidup yang tenang, bahagia bersama keluarga, hidup mewah dan mempunyai kedudukan (diceritakan Bendahara Seri Maharaja pembesar terkaya di Melaka) tiba-tiba berhadapan dengan malapetaka dan kemusnahan diri sendiri serta ahli-ahli keluarga tentu sekali penderitaan yang dirasai tidak tertanggung. Turut dirasai penderitaan ini ialah Tun Fatimah yang terpaksa menghadapi kehilangan suami, ayah dan keluarga secara tragis, difitnah akan menderhaka kepada raja. Kesan kesakitan dan penderitaan Tun Fatimah diceritakan dalam Sulalatus Salatin bahawaTun Fatimah tidak pernah tersenyum selama menjadi isteri Sultan Mahmud Syah.
- Pembunuhan kejam ke atas Tuan Jana Khatib oleh Paduka Seri Maharaja juga menimbulkan unsur pathos kerana tidak setimpal dengan kesalahannya menilik batang pinang hingga terbelah dua di hadapan permaisuri Singapura. Pembunuhan akibat rasa cemburu dan tanpa alasan kukuh ini amat kejam dan menimbulkan simpati pembaca terhadap watak tersebut.
- Pembunuhan ke atas anak Sang Rajuna Tapa. – Anak Sang Rajuna Tapa merupakan gundik kepada Raja Iskandar Syah. Dia telah difitnah dan dijatuhkan hukuman bunuh secara yang amat kejam dan mengaibkan iaitu disula dihujung pasar.
- Pembunuhan Tun Besar gara-gara bermain sepak raga.
- Pembunuhan Sultan Abu Syahid oleh Raja Rekan. Orang yang tidak berdosa menjadi mangsa balas dendam dan tamak kuasa.
3. Terkorban kerana
menegakkan keadilan dan perbezaan prinsip:
Buktinya tergambar
dalam episod pertikaman dan pembunuhan Hang Jebat oleh sahabatnya Hang Tuah. Kesedihan,
kepiluan dan rasa penyesalan yang bukan sahaja dirasai oleh watak-watak tetapi
turut dirasai oleh kita sendiri sebagai pembaca ketika mengikuti episod
pertikaman antara dua orang sahabat baik iaitu antara Hang Tuah dan Hang Jebat.
Kita merasa sedih kerana pengorbanan Hang Jebat untuk membela penganiayaan ke
atas sahabatnya Hang Tuah yang dihukum bunuh hanya kerana fitnah dan tanpa usul
periksa oleh Sultan Mansur Syah akhirnya membawa kecelakaan pada dirinya kerana
pada zaman itu tindakan Hang Jebat bertentangan dengan sistem sosial yang menjadi
amalan masyarakat Melayu. Hal ini terjadi kerana perbezaan prinsip di antara
dua sahabat tersebut. Hang Tuah berpegang dan menjunjung prinsip “Pantang
Melayu Derhaka kepada raja” sebaliknya Hang Jebat berpegang kepada prinsip “
Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah”
Berpegang kepada
prinsip itu Hang Tuah tidak boleh sama sekali bertolak ansur terhadap sesiapa
sahaja yang menderhaka kepada rajanya. Sebagai seorang hamba yang setia kepada
tuannya, Hang Tuah menepikan rasa persahabatan/persaudaraannya terhadap Hang
Jebat. Hang Tuah tetap menurut titah raja. Kesetiaan Hang Tuah tidak berbelah
bagi kepada raja Melaka. Sungguhpun Hang Jebat menderhaka kerana membela
"kematian" Hang Tuah, namun kesetiaan Hang Tuah tidak ada
tandingannya .
4. Rakyat menjadi
mangsa kesetiaan kepada pemerintah.
Kepedihan dan kesakitan
yang dirasai oleh rakyat dan hulubalang Singapura akibat tercedera diserang
todak berlaku kerana kesetiaan mereka terhadap pemerintah. Titah raja Singapura
tidak boleh dibantah. Kisah ini berlaku dalam episod Singapura dilanggar todak.
- Titah raja supaya rakyat berkubukan betis (tubuh badan) telah menyebabkan ramai rakyat terkorban dan cedera parah.
- Dalam episod ini juga, berlaku peristiwa tragis yang amat mengusik perasaan belas kasihan serta kepiluan hati apabila mendapati budak cerdik yang telah berjasa menyelamatkan Singapura daripada serangan todak itu tidak diberi penghargaan sewajarnya. Sebaliknya budak cerdik ini telah menjadi korban fitnah akibat perasaan iri hati pembesar-pembesar negeri. Begitu juga seksa keluarga budak cerdik ini menanggung penderitaan kematian anak mereka kerana berjasa kepada negara.
- Budak cerdik ini tidak berdosa belum mengenal pancaroba dunia dihukum bunuh, mati dalam keadaan terseksa benar-benar meninggalkan kesan pada jiwa kita.
5. Penganiayaan dan
penafian hak terhadap pewaris tahta juga merupakan suatu unsur pathos.
Ini terlihat dalam
peristiwa penyingkiran Raja Kassim daripada menaiki tahta Kerajaan Melaka oleh
Puteri Rekan. Raja Kassim sepatutnya menaiki tahta selepas kemangkatan Sultan
Muhammad Syah, tetapi telah dinafikan haknya oleh Puteri Rekan yang bertindak
melantik anaknya Raja Ibrahim sebagai sultan Melaka. Raja Kassim diusir dari
istana dan menjadi nelayan di pantai Melaka. Peristiwa penyingkiran ini
menimbulkan rasa simpati dan belas kasihan khalayak terhadap Raja Kassim.
UNSUR LEGENDA DAN MITOS
Menurut Zainon S. Ahmad (1993: 131) mitos ialah sejenis cerita rakyat yang mengisahkan tentang manusia dan peristiwa luar biasa yang tidak rasional atau tidak dapat diterima oleh akal biasa. Menurut Hooykaas (1965: 143) pula, mitos dalam konteks penulisan sastera Melayu lama bercorak sejarah sebagai cerita dewa-dewa yang lazimnya didorong oleh unsur keagamaan dan unsur tersebut ada kaitan dengan asal usul seseorang raja serta selalu dibungai oleh unsur yang sangat ajaib.
Mitos yang paling popular ialah berkaitan dengan buluh betung, buih atau air, matahari, binatang buas, naga, dan lain-lain. Biasanya binatang yang muncul dalam mitos asal usul ini ialah binatang yang besar, gagah, kuat dan bengis. Sifat-sifat yang mengagungkan ini mungkin diharapkan dapat memberi pewarnaan yang lebih hebat kepada asal usul yang diperkatakan.
SASTERA PENGARUH ISLAM
- Karya-karya ditulis menggunakan tulisan Jawi. Huruf atau askara dipinjam daripada bahasa Arab, kemudiannya ditambah dengan askrara baharu mengikut kesesuaian sebutan dan nahu Melayu.
- Permulaan cerita mengungkapkan kata-kata pujian kepada Allah. Semua hikayat sastera pengaruh Islam ada mengandungi ciri-ciri ini yang berfungsi sebagai pemula cerita.
- Hikayat menceritakan tentang Nabi Muhammad, Para Nabi, Para Sahabat, Pahlawan Islam dan Para Alim Ulama. Kisah menyentuh mengenai cara hidup, pemikiran, sifat-sifat terpuji dan diselitkan juga sifat jahil manusia yang menduga keimanan Baginda, para Nabi dan para Ulama.
- Gambaran unsur Islam dalam adat istiadat seperti mengaji, khatam dan menghafaz Al-Qur’an, mendirikan solat serta perkara yang menjadi rukun dalam Islam.
- Unsur imaginasi juga bercirikan Islam seperti watak Jin Islam dalam hikayat. Walaupun gambaran yang diberikan bercorak khayalan dan rekaan semata-mata, namun ia bertujuan untuk menimbulkan keindahan dan daya penarik dalam karya. Meskipun begitu ia masih lagi mengandungi ciri atau pengaruh Islam.
Nota yang baik
ReplyDeletePerkongsian yang padat dan baik sekali
ReplyDeleteNota yang menarik dan berguna
ReplyDeleteRingkasan nota yang baik. terima kasih
ReplyDelete