Fungsi
Mitos
Menurut Hooykas (1965), mitos berfungsi untuk menceritakan
tentang asal usul raja-raja. Asal usul raja-raja kerajaan Melayu tua ini
kebiasaanya dihubungkan dengan objek-objek seperti buluh, buih dan mayang
pinang. Tujuan utama gambaran tentang asal usul raja ini digembar gemburkan
adalah untuk meningkatkan taraf dan kedudukan raja. Hal ini kerana, dalam
kisah-kisah yang dipaparkan, raja-raja ini mempunyai keupayaan untuk berhubung
secara langsung dengan tokoh-tokoh jin, lembu dan Batala, tokoh mitos Puteri Mahtabu’l
Bahri dan Raja Aftabu’l Ardh serta pelbagai lagi tokoh dari dalam laut dan
kayangan, (Yusoff Iskandar, 1986).
Contohnya kisah berkenaan dengan Raja Suran, yang merupakan keturunan
Iskandar Zulkarnain, yang dikatakan telah masuk ke dalam laut. Dalam
pengembaraan tersebut, baginda telah terjumpa sebuah negeri yang didiami oleh
kaum Bersam. Kaum di negeri Bersam ini terdiri daripada orang kafir dan Islam.
Raja Suran kemudiannya dikhabarkan berkkahwin dengan puteri kerajaan tersebut
iaitu, Puteri Mahtabu’l Bahri dan dikurniakan tiga orang putera.
Raja Suran kemudiannya pergi menemui raja jin iaitu Asmaghayah Peri untuk
meminta supaya dibuatkan tiga buah mahkota untuk puteranya. Mahkota itu menjadi
lambang kebesaran dan keturunan Iskandar Zulkarnain. Setelah itu, Raja Suran
pun keluar dari laut dan menuju ke udara dengan menunggang seekor kuda terbang
yang bernama Faras’ul Bahri.
Berdasarkan kisah yang dipaprkan ini, kita dapat melihat dengan jelas
bahawa pengarang cuba untuk mengagung-agungkan kedudukan raja dengan
menyelitkan pelbagai jenis kebolehan dan keistimewaan baginda. Dalam cerita ini
kebolehan dan keistimewaan tersebut ditunjukkan menerusi keupayaan baginda
untuk hidup di dalam laut dan keluar dari laut dengan menungggang kuda terbang.
Seterusnya, mitos berfungsi untuk menceritakan tentang asal usul sesuatu
tempat. Mitos berkenaan dengan asal usul sesuatu tempat ini kebiasaannya
dikaitkan dengan unsur-unsur binatang dan anasir-anasir alam seperti pokok
kayu, buah-buahan,mayang pinang dan lain-lain. Binatang yang dijadikan unsur
mitos itu pula terdiri daripada binatang yang luar biasa sifatnya, tangkas,
besar, cerdik dan cantik seperti singa, pelanduk, anjing dan semut besar,
(Yusoff Iskandar, 1986).
Contoh ini dapat dilihat dalam kisah bagaimana Singapura mendapat nama.
Menurut Sejarah Melayu, nama Singapura ini diambil daripada nama binatang,
iaitu singa. Cerita ini dikaitkan dengan kisah putera ketiga Sang Sapurba Taram
Seri Tri Buana yang terserempak dengan binatang ini sewaktu baginda pergi
bermain-main di perairan Bentan. Ketika itu, Sang Nila Utama bertanya kepada
semua orang yang berada di sekelilingnya berkenaan nama binatang yang dilihat.
Namun tiada seorang pun yang tahu. Akhirnya, Demang Lebar Daun menjawab
pertanyaan tersebut sambil menambah, tempat ini baik untuk dibuat negeri kerana
mempunyai binatang yang gagah. Lalu terbentuklah kerajaan Singapura yang
mendapat nama dari singa, manakala pura pula, merujuk kepada bandar dalam
bahasa Sanskrit.
Mitos juga turut dikaitkan dengan sejarah kemasukan agama Islam ke Melaka
dan Pasai, (Yusoff Iskandar, 1986). Tujuan utama mitos tentang pengislaman ini
dibuat adalah untuk membezakan cara rakyat dan raja memeluk Islam. Raja
mempunyai cara yang lebih istimewa dalam memeluk agama Islam berbanding rakyat
jelata. Pengislaman raja ini dikatakan berlaku secara langsung dari Mekah dalam
mimpi. Dalam mimpi tersebut, mereka bertemu dengan tokoh-tokoh Islam dan
beberapa orang wali yang mempunyai hubungan dengan penyebaran Islam di Melaka
dan Pasai. Keisitimewaan ini pula muncul berikutan sifat sosial dan politik
raja itu yang sememangnya mempunyai taraf yang tinggi dalam masyarakat.
Menerusi mitos yang ditampilkan ini, kita dapat mengetahui cara agama Islam
berkembang di Melaka, iaitu melalui raja. Seterusnya, pengislaman raja ini
diikuti oleh pembesar dan rakyat jelata.
Mitos tentang kemasukan Islam ini dapat dilihat dalam kisah pengislaman
Raja Kecil Besar. Dalam Sejarah Melayu, Raja Kecil Besar dikatakan bermimpi
bertemu dengan Rasulullah S.A.W. Dalam mimpi tersebut, baginda telah diajar
untuk mengucap dua kalimah syahadah oleh Rasulullah S.A.W, seterusnya baginda
juga diberitakan mengenai namanya yang telah ditukar kepada Sultan Muhammad.
Sebaik sahaja baginda tersedar daripada mimpi, badan baginda dikatakan berbau
wangi dan sudah siap dikhatankan. Mulut baginda pula, lancar sahaja mengucapkan
lafaz dua kalimah syahadah.
Selain itu, mitos juga turut dikaitkan dengan popular idea berhubung
dengan sesuatu peristiwa aneh dan ajaib yang berlaku, (Yusoff Iskandar, 1986).
Peristiwa ini dipercayai hanya dialami oleh raja ataupun dalam kalangan mereka
yang mempunyai hubungan yang rapat dengan istana. Antara contoh popular idea
ini ialah berkaitan dengan konsep daulat dan derhaka. Seorang raja dipercayai
mempunyai satu bentuk kepercayaan mistik, iaitu daulat. Menerusi kepercayaan
ini, rakyat dilarang daripada melanggar hak daulat yang dimiliki oleh raja
tersebut. Sekiranya larangan ini diingkari, dalam erti kata yang lain derhaka
kepada raja, orang tersebut akan menerima balasan yang buruk.
Antara contoh kisah yang berkenaan dengan konsep daulat dan derhaka ini
ialah kisah berkenaan dengan Sang Rajuna Tapa yang bertukar menjadi batu. Sang
Rajuna Tapa merupakan bendahara kepada Raja Iskandar Syah, iaitu pemerintah
Singapura. Sang Rajuna Tapa ditimpa daulat Raja Iskandar Syah kerana belot
kepada baginda dan bersubahat dengan Majapahit, musuh Singapura. Akibat
daripada tindakannya itu, Singapura telah kalah kerana diserang Majapahit. Raja
Iskandar Syah kemudiannya lari ke Melaka, manakala Sang Rajuna Tapa dan
isterinya bertukar menjadi batu sebaik sahaja Raja Iskandar Syah melarikan diri
ke Melaka. Batu itu dipercayai masih lagi wujud di Singapura.
Disamping itu, mitos juga digunakan sebagai dakyah untuk mengecam
penyelewengan yang selalunya dilakukan oleh raja, (Yusoff Iskandar, 1986).
Penggunaan mitos digunakan kerana kritikan secara terang-terangan atau langsung
kepada raja, boleh menyebabkan seseorang itu dilabel sebagai menderhaka dan
boleh ditimpa daulat raja. Jadi, kritikan ini hanya dapat disampaikan dalam
bentuk penulisan. Dalam Sejarah Melayu, kritikan ini disampaikan dalam bentuk
mitos yang pelbagai.
Contoh mitos yang berfungsi sebagai kritikan ini dapat dilihat dalam kisah
peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Mahmud Syah. Puteri Gunung Ledang
telah meletakkan syarat-syarat yang sukar untuk dijadikan hantaran bagi
meminang dirinya. Kesemua syarat-syarat tersebut sanggup dipatuhi oleh baginda,
walaupun berat. Namun, apabila tiba kepada syarat yang melibatkan nyawa
anakanda baginda, baginda tidak sanggup untuk melakukannya. Hal ini jelas
membuktikan bahawa baginda seorang opportunist, (Yusoff Iskandar, 1986).
Baginda sanggup membiarkan rakyat terkorban dan menderita asalkan kemahuan
baginda tercapai, namun apabila kemahuan tersebut melibatkan kepentingan diri
dan keluarganya, baru lah baginda melupakan kemahuan baginda yang tinggi itu.
Fungsi
Legenda
Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986), legenda
merupakan kisah-kisah mengenai keperibadian dan keunggulan dalam peribadi yang
dimiliki oleh tokoh-tokoh manusia tertentu, tokoh-tokoh yang berkemungkinan
besar memang hidup dalam sejarah umpamanya. Seterusnya, tokoh-tokoh ini
pula tidak sunyi daripada dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang ada hubungannya
dengan kekuatan politik dan agama.
Di samping itu, keunggulan tokoh-tokoh ini sering
dihubungkaitkan dengan watak-watak istimewa dan supernatural seperti gagah,
berani, kuat, pintar dan bijak, mempunyai kebolehan dan kekuatan batin yang
luar biasa serta sangat terkenal dalam sejarah tempatan sesuatu masyarakat.
Justeru, legenda menjadi kebanggaan bahkan kerap diteladani oleh
masyarakat setempat, lalu menjadi milik seluruh masyarakat tersebut.
Berdasarkan hal tersebut, dapatlah diketahui bahawa legenda ini mempunyai
fungsinya yang tersendiri.
Masyarakat Melayu amat sinonim dengan konsep ‘tulah raja’.
Barangsiapa yang menderhaka kepada sultan atau raja, mereka akan mendapat
hukuman atau terkena ‘tulah raja. Sehubungan dengan itu, antara fungsi legenda
menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163) adalah untuk
memperkuat konsep ‘daulat’, ‘taat’ dan ‘derhaka’ dalam masyarakat Melayu.
Sesuai dengan hal ini, Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah
telah diangkat menjadi model atau simbol kepada ketiga-tiga konsep tersebut.
Hal ini dapat dilihat apabila ia sanggup membunuh sahabat baiknya
sendiri, iaitu Hang Jebat yang pada pandangannya telah menderhaka kepada Sultan
mereka, iaitu Sultan Mansur Syah sebagai tanda taat dan setianya yang tidak
berbelah bahagi kepada rajanya. Selain itu, Hang Tuah juga sanggup mati
untuk memenuhi kehendak sultan Melaka pada ketika itu (Hasbullah Ibrahim dan
Noor Aini Shaari, 1993). Beliau diceritakan sanggup untuk masuk ke dalam
kubur disebabkan sultannya yang ingin mengetahui keadaan sebenar di dalam kubur.
Seterusnya, legenda juga berfungsi untuk memuji serta
menunjukkan kekuatan fizikal dan mental orang-orang Melayu. Hal ini dapat
digambarkan melalui kebijaksanaan Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya.
Baginda bertindak menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa buah kuasa
besar sebagai langkah berjaga-jaga. Meskipun Siam pada ketika itu telah
menyerang Melaka sebanyak dua kali dan tewas, namun itu bukanlah bermakna
mereka tidak akan menyerang Melaka lagi. Maka, Sultan Mansur Syah telah
membuat keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam. Hal ini tidak lain dan
tidak bukan adalah untuk memastikan keamanan kerajaan Melaka.
Selain
itu, legenda turut berfungsi menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap
agama Islam. Hal ini dapat dilihat daripada kisah Tok Senik di Beserah
yang merupakan seorang pemimpin agama telah bertindak membuka Pekan Beserah
setelah merantau dari satu tempat ke satu tempat di utara Semenanjung Tanah
Melayu (Aripin Said, 1996: 57).
Kisah ini menunjukkan betapa pengaruh seorang pemimpin agama
itu sangat memberi kesan yang besar kepada orang di sekelilingnya. Hal
ini demikian kerana, ketika Tok Senik datang ke pekan tersebut yang pada
asalnya masih belum mempunyai nama, beliau terus mencadangkan nama Pekan
Beserah kerana dikaitkan dengan kehidupan seorang Islam yang sentiasa berserah
kepada Allah dalam apa-apa jua perkara. Kisah ini juga telah dibawa
turun-temurun oleh rakyat tempatan dan dipercayai ramai. Pada masa yang
sama, perkara ini juga sebenarnya mampu mengukuhkan kepercayaan masyarakat
terhadap sesuatu tokoh dan peristiwa bercorak sejarah.
Selanjutnya, legenda juga direka adalah untuk menonjolkan
tokoh-tokoh legenda. Sebagai contoh, watak Hang Tuah dalam Hikayat Hang
Tuah. Hang Tuah diceritakan dan dilambangkan sebagai seorang yang sangat
gagah perkasa. Sebagai buktinya, dia dapat mengalahkan orang Jawa yang mengamuk
dan kemudiannya dilantik menjadi laksamana (Yusoff Iskandar dalam Zahrah
Ibrahim, 1986: 162). Sehubungan dengan itu, perihebatnya tokoh ini di
mata masyarakat telah digambarkan dalam Sejarah Melayu:
“Adapun akan Laksamana Hang Tuah barang tempat ia pergi,
gegak-gempita bunyi orang daripada hebat melihat sikap lakunya. Jika ia
peseban, peseban gempar; jika ia di panggungan, panggungan gaduh dan segala
perempuan Jawa anak-anak dara, jikalau ia berjalan ke pasar atau barang ke mana,
banyaklah yang gila akan Hang Tuah itu. Dan apabila Hang Tuah lalu, perempuan
di dalam pangkuan lakinya itu pun bangun hendak melihat Hang Tuah; itulah
dipantunkan Jawa…”
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan
tokoh Hang Tuah itu sendiri sekaligus mengangkat watak tersebut.
Fungsi legenda yang seterusnya adalah untuk memberikan hak legalisasi
terhadap raja-raja yang berkenaan (Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim, 1986:
163). Berhubung dengan hal ini, perihal menghubungkan tokoh-tokoh
bersejarah dengan tokoh-tokoh legenda zaman dahulu sebenarnya bukanlah dibuat
secara kebetulan, sebaliknya ada kepentingannya yang tersendiri, iaitu untuk
kepentingan politik.
Keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa tokoh-tokoh sejarah
yang dihubungkaitkan dengan unsur-unsur legenda ini ialah raja-raja
sendiri. Hal ini demikian kerana, mereka berpendapat adalah menjadi
haknya merajai sesebuah kerajaan kerana keturunannya sendiri berasal daripada
raja-raja, baik raja tersebut muncul dalam bentuk mitos mahupun legenda.
Menurut Yusoff Iskandar dalam Zahrah Ibrahim (1986: 163), raja-raja ini
berpendapat mereka bukan daripada manusia biasa dan dijadikan daripada hukum
akal dan bersifat biologis.
Di samping itu,
legenda turut berfungsi untuk memperingati peristiwa penting yang berlaku dalam
masyarakat Melayu. Hal ini sangat penting bagi memastikan kelestarian
cerita-cerita terdahulu yang boleh dijadikan panduan buat generasi terkemudian
baik sebagai hiburan, pengetahuan mahupun peringatan. Hal ini dapat
dilihat dalam Hikayat Hang Tuah yang mengisahkan pertarungan Hang Tuah dan Hang
Jebat. Kisah ini secara tidak langsung dapat membuatkan orang ramai
memperingati peristiwa tersebut dan dibawa turun-temurun dari generasi ke
generasi.
Akhir sekali, legenda juga berfungsi menceritakan salasilah raja-raja.
Hal ini dapat dibuktikan melalui Hikayat Raja-raja Pasai, iaitu mengenai
salasilah Merah Silau atau Sultan Malikul Saleh, yakni nama baginda selepas
memeluk Islam. Pada awal hikayat ini ada disebutkan tentang salasilah
Merah Silau dari awal yang bermula daripada kisah Raja Ahmad dan Raja Muhammad
yang masing-masing menjumpai seorang kanak-kanak (Puteri Betung) daripada buluh
betung dan seorang lagi dijumpai bersama-sama dengan seekor gajah (Merah Gajah).
Setelah kedua-dua mereka membesar, mereka pun dikahwinkan dan dikurniakan
dua orang cahaya mata, iaitu Merah Silau dan Merah Hasum (Russell Jones, 1997).
Secara umumnya, legenda-legenda ini sengaja diwujudkan dengan
tujuan-tujuan tertentu yang dihubungkan dengan seseorang tokoh, raja, pahlawan,
ulama dan sebagainya. Pelbagai sanjungan diberikan kepada
individu-individu tersebut. Di samping itu, sanjungan tersebut pula lahir
sesuai dengan fungsinya yang berfungsi memperbesar-besarkan taraf, keturunan
dan kedudukan raja yang disanjung.
Perkongsian yang sangat menarik dan bermanfaat. Penjelasan yang cukup berilmiah dan boleh dijadikan rujukan
ReplyDeletePerkongsian yang menarik dan berguna
ReplyDeleteterima kasih untuk maklumatyang diberikan
ReplyDelete