Kesusasteraan dan masyarakat mempunyai hubungan yang amat
erat. Sesebuah karya kesusasteraan dibina oleh persoalan-persoalan yang dipetik
daripada rencamnya kehidupan sesuatu masyarakat. Pengarang atau pencipta akan
menjalin persoalan-persoalan daripada kehidupan masyarakat tersebut hingga
menjadikannya satu rantaian peristiwa yang mempunyai kesenimbungan antara satu
sama lain dan akhirnya membentuk sebuah karya. Dalam usaha memasukkan
persoalan-persoalan itu, pengarang secara langsung turut memasukkan gambaran
latar masyarakat untuk menjadikan setiap persoalan itu signifikan dan relevan
serta nampak realistik. Kajian ke atas persoalan dan latar masyarakat
merujuk kepada:
(i) Keagungan raja dan negara
Satu perkara yang tidak boleh dinafikan dalam karya-karya
tradisional Melayu ialah raja diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Keagungan
raja dan negara diangkat menjadi persoalan utama dalam karya-karya
kesusasteraan. Oleh itu, raja di diberikan gambaran-gambaran hebat termasuklah
diwarnai dengan unsur-unsur dongeng dan mitos. Sejarah Melayu misalnya;
mengaitkan nasab raja-raja Melaka dengan Iskandar Dzulkarnain dari
Makadunia. Selain itu, keagungan raja juga digambarkan oleh
pengarang-pengarang sastera Melayu tradisional melalui peristiwa yang dianggap
penting. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu dan Hikayat Merong
Mahawangsa misalnya, terdapat peristiwa-peristiwa ajaib tentang proses
pengislaman raja-rajanya. Misalnya, mereka bermimpi bertemu Nabi Muhammad,
diludahi mulut mereka oleh Baginda dan tiba-tiba boleh mengucap dua kalimah
syahadat dan juga kejadian brrkhatan melalui mimpi.
Dalam soal kenegaraan pula, bangsa Melayu mempunyai konsep
khas untuk negeri(negara) Kewujudan sesebuah negeri hanya diiktiraf jika negeri
itu mempunyai raja. Raja yang tidak bernegeri tidak diterima ke-raja-annya. Dengan
kata lain, keagungan sesebuah negeri itu bergantung kepada kehebatan rajanya.
Kewujudan sesebuah negeri dikaitkan dengan peristiwa aneh atau menakjubkan,
misalnya pembukaan Melaka yang berdasarkan kejadian pelanduk menendang anjing
perburuan Parameswara.
(ii) Kepahlawanan
Persoalan ini menjadi inti utama sastera epik, sastera
sejarah, sastera lisan dan sastera panji. Secara logiknya, sesebuah negeri
tidak akan dapat mempertahankan kewujudannya tanpa kehadiran seorang pahlawan
yang hebat dan terbilang. Kehebatan watak tradisional melibatkan gambaran ciri
fizikal bentuk tubuh badan mereka dan ketangkasan mereka di medan pertempuran
khususnya dalam pertarungan senjata, misalnya watak Hang Tuah, yang yang
memiliki sifat kepahlawanan yang tiada tolok bandingnya.
Selain itu, gambaran kehebatan dengan bantuan atau dengan
ciri-ciri tambahan seperti penguasaan ilmu muslihat perang, dibekalkan senjata
luar biasa atau sifat-sifat peribadi dan tabiat yang tertentu. Aspek
kepahlawanan yang digambarkan dilihat atau dinilai berdasarkan kaca mata
sezaman. Oleh sebab pada zaman itu kudrat fizikal adalah segala-galanya dalam
usaha mempertahankan maruah diri dan bangsa umumnya,maka kecendurangan
pengarang mengangkat watak-wataknya dengan segala keluarbiasaan dan kehebatan
tidak relevan dengan latar sezamannya.
(iii) Kesetiaan rakyat
Persoalan kesetiaan rakyat banyak diterapkan dalam
karya-karya kesusasteraan Melayu tradisional. Setia menjadi satu persoalan
pokok yang terpancar daripada cerita-cerita tradisional. Watak Hang
Tuah adalah lambang kesetiaan rakyat yang mutlak dan watak ini sebenarnya
sekadar mewakili rakyat berketurunan Melayu dalam menyempurnakan waadat yang
termeterai antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba seperti mana yang
tercatat dalam Sejarah Melayu. Dalam episod itu, Demang Lebar Daun
bersumpah untuk menumpuhkan segala ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi
kepada rajanya, manakala di pihak Sang Sapurba pula telah bersumpah jika
keturunannya menganayai rakyat, akibatnya negara akan runtuh.
(iv) Panduan untuk raja, pembesar, dan rakyat
Tanpa peraturan manusia akan hidup dalam keadaan
terumbang-ambing dan tidak teratur. Peraturan dan hukum akan mengawal tingkah
laku dan perbuatan manusia. Satu lagi klasifakasi sastera Melayu
tradisional ialah sastera ketatanegaraan yang dikarang khusus untuk memberikan
panduan kepada raja, pembesar dan rakyat menjalankan tanggungjawab
masing-masing dalam hidup bermasyarakat, bernegara dan berbudaya. Dua buah
karya utama dalam klasifikasi ini ialah Tajus salatin atau Mahkota Segala
Raja-raja karangan Bukhari al-Jauhari dan Bustanus salatin atau Taman Segala
Raja-raja karangan syeikh Nuruddin al-Raniri.
Kewujudan kedua-dua buah karya ini jelas membuktikan bahawa
dalam usaha membina sebuah kerajaan dan negara, antara prasyarat yang
diperlukan ialah adanya panduan untuk mentadbir dan menjalankan tanggungjawab
masing-masing, sama ada sebagai raja, pembesar mahupun rakyat jelata.
Kedatangan Islam ke alam Melayu telah menyedarkan masyarakat Melayu akan
perlunya satu panduan, khususnya tentang ilmu ketatanegaraan berlandaskan nilai
dan norma yang dipersetujui bersama atas landasan agama Islam.
Selain ditulis dalam kitab-kitab ketatanegaraan,
pengarang-pengarang turut memuatkan panduan untuk Raja, pembesar dan rakyat
secara tidak langsung dalam karya sastera lain. Contohnya yang terdapat dalam
Sejarah Melayu. Selain itu pengarang turut menyelitkan kritikan halus sebagai
panduan, misalnya tentang kegagalan peminangan Puteri Gunung Ledang yang
menempelak juga kerakusan nafsu Sultan Mahmud Mahmud(dalam sejarah melayu)dan
juga bencana yang menimpa Sultan Ahmad apabila membunuh puteranya sendiri(dalam
Hikayat Raja-raja Pasai)
(v) Keagamaan dan kepercayaan
Bangsa Melayu melalui tiga fasa kepercayaan dan keagamaan,
iaitu bermula dengan animisme, Hindu-Buddha dan Islam. Kesemuanya terpancar
dalam hasil-hasil kesusasteraan. Kedatangan pengaruh agama dan budaya
Islam ke alam Melayu telah mencorakkan satu bentuk sistem kepercayaan dan
kebudayaan baru di kalangan masyarakat Islam sebagai agama yang
menyeluruh telah tersebar begitu pesat sekali sehinggakan dalam tempoh tidak
sampai satu abad, hampir seluruh alam Melayu telah diislamkan. Kejayaan ini
banyak bergantung pada strategi penyebaraan dan pendekatan yang digunakan oleh
para pendakwah dan mubaligh Islam yang datang khususnya dari benua Arab dan
India.
Secara umumnya, selain persoalan keagamaan yang begitu
dominan dalam karya-karya pengarang sastera Melayu tradisional khususnya
selepas kedatangan Islam, unsur-unsur kepercayaan lain terus subur dalam
hasil-hasil karya sastera melayu yang lain. Kepercayaan animisme misalnya tetap
menjadi pilihan pengarang atau pencipta sesebuah karya.Persoalan ini banyak
dilihat dalam cerita-cerita lisan seperti mitos, lagenda dan cerita rakyat.
Antaranya cerita-cerita yang menonjolkan unsur sistem kepercayaan animisme
misalnya cerita Asal Usul Dunia, cerita Semangat padi, cerita Badang dan cerita
Langsuir.Unsur-unsur ini juga banyak terdapat dalam manifestasi jampi dan
mantera serta ditemui dalam cerita-cerita penglipur lara, yang diselitkan dalam
pengambaraan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh wira dan wirawati.
(vi) Pendidikan/moral
Hakikat bahawa sastera Melayu tradisional menjadi media pendidikan
masyarakat pendidikan masyarakat Melayu lama adalah sesuatu yang tidak dapat
dinafikan lagi. Pada zaman tiada instutisi pendidikan yang formal ,selain
terdidik daripada pengalaman sendiri, masyarakat juga dapat menimba ilmu
pengetahuan dengan mendengar cerita dan pengalaman orang lain dalam kelompok
asing. Disinilah terletak peranan pengarang atau pencipta hasil sastera zaman
itu.
Penyampaian mesej pendidikan dan moral dibuat dengan
berhati-hati .Adalah penting bagi pengarang atau pencipta karya supaya memilih
isu yang sesuai, bahasa yang berseni dan berlapik serta situasi pengucapan atau
penyampaian yang tepat. Itulah sebabnya mesej-mesej pendidikan ini banyak
disusun dalam bentuk puisi termasuklah pantun, gurindam, seloka,
peribahasa, masnawi, nazam, berzanji, rubai, rejang dan teromba. Bentuk puisi
yang ternyata lebih ringkas berbanding prosa. Seseorang yang telah melakukan
salah boleh dinasihati, disindir dan ditegur. Pengunaan diksi yang bersifat
konotatif dalam puisi-puisi tersebut dapat mengurangkan kesan emosi terhadap
seseorang yang ditegur.
(vii) Gambaran masyarakat
Secara keseluruhan, hasil-hasil sastera melayu tradisional
adalah satu-satunya bentuk dokumentasi yang boleh menjadi rujukan untuk
melihat corak hidup dan gambaran masyarakat zaman silamnya. Justeru tidak
terdapat sebarang bentuk catatan kecuali sedikit sebanyak yang
terpahat pada dinding gua, hasil-hasil sastera sama ada lisan atau bertulis
merupakan sumber utama penelitian antropologi manusia Melayu.
Satu lagi perkara yang ketara tentang kecenderungan
pengarang memasukkan gambaran masyarakat dalam karya mereka ialah untuk
menjadikannya sebagai pedoman kepada generasi akan datang. Hal ini bersesuaian
dengan motif penciptaan sesebuah karya sastera itu sendiri iaitu memberikan
pedoman kepada masyarakat tentang nilai dan norma yang luhur dan wajar dipupuk
merentasi batas zaman.
Blog yang amat berguna
ReplyDelete